Saturday, December 11, 2010

SBP patut kekal untuk pelajar miskin, luar bandar(Berita Harian: 15/11/2010)

SBP patut kekal untuk pelajar miskin, luar bandar (Berita Harian: 15/11/2010) - MOE

MAKLUM BALAS LAPORAN AKHBAR

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar ruangan Berita akhbar Berita Harian bertarikh 15 November 2010 – SBP patut kekal untuk pelajar miskin, luar bandar.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM sentiasa patuh akan matlamat asal penubuhannya. Dasar pengambilan murid iaitu tujuh puluh peratus (70%) murid luar bandar dan tiga puluh peratus (30%) murid bandar dipatuhi dalam melaksanakan keputusan pengambilan murid ke SBP, di samping akur akan syarat-syarat permohonan kemasukan murid untuk tingkatan satu (1) dan tingkatan empat (4). Persaingan yang hebat dalam kalangan murid-murid cemerlang ini memastikan hanya yang benar-benar layak yang akan dipilih. Kecemerlangan yang dimaksudkan bukan sahaja dalam bidang akademik, malah cemerlang kokurikulum dan sahsiah turut menjadi penentu seseorang murid itu terpilih atau tidak ke SBP, supaya matlamat Falsafah Pendidikan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dapat direalisasikan.

Kuota pengambilan sebanyak dua puluh peratus (20%) diberikan kepada pengetua antara tujuannya untuk meningkatkan aspek kebitaraan sesebuah SBP, supaya kecemerlangan yang ada di sesebuah institusi itu berkesinambungan. Melalui sesi temuduga yang dilaksanakan oleh pengetua mereka dapat mengenal pasti potensi murid dengan lebih dekat dan murid yang berpotensi dapat mengembangkan bakat mereka dengan betul.

Sebagai institusi pendidikan, sekolah perlu merencana dan melaksanakan beberapa perkhidmatan dan kemudahan tambahan kepada murid-murid. Pelaksanaan perkhidmatan dan kemudahan tambahan ini memerlukan peruntukan tambahan secara khusus. Ibu bapa turut mempunyai peranan untuk turut bersama melaksanakan tanggungjawab membantu sekolah melaksanakan program dan aktiviti tambahan bagi murid-murid dengan membayar bayaran tambahan lain sebagai tanda komitmen terhadap pendidikan anak-anak mereka. Bayaran-bayaran tambahan selain bayaran-bayaran yang dibenarkan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996:Peraturan-peraturan Pendidikan, Surat Pekeliling Ikhtisas dan Surat Siaran yang sedang berkuat kuasa, perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan sama ada melalui Mesyuarat Agung PIBG atau Mesyuarat Jawatankuasa PIBG. Sebarang bayaran tambahan yang dikenakan semata-mata berkisar kepada perkhidmatan yang diberikan kepada murid-murid. Sekiranya pihak sekolah bercadang untuk membuat kutipan bayaran-bayaran lain, pihak sekolah perlulah terlebih dahulu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pendaftar Sekolah. Hak murid-murid cemerlang dalam kalangan miskin dan berpendapatan rendah untuk meneruskan pelajaran mereka di SBP sentiasa diberi perhatian. Sekalipun mereka diminta menjelaskan bayaran-bayaran tambahan tersebut, pelbagai bantuan dan kebajikan disediakan dan disalurkan kepada mereka seperti biasiswa, bantuan projek khas, bantuan skim pinjaman buku teks, pemansuhan yuran peperiksaan awam, dan mereka yang dari kalangan keluarga berpendapatan RM 4999.99 ke bawah dikenakan Yuran Makan Asrama hanya Ringgit Malaysia Satu (RM1) sahaja sehari berbanding Ringgit Malaysia Tiga (RM3) sehari bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka juga dikecualikan daripada membayar wang cagaran asrama. Bayaran tambahan itu pula boleh dijelaskan secara beransur-ansur mengikut kemampuan. Seharusnya ibu bapa yang berpendapatan rendah atau miskin tidak berasa terbeban, apabila kemudahan-kemudahan ini disalurkan kepada anak-anak mereka.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

KLIK SINI

## Murid dalam kalangan keluarga berpendapatan RM4,999.99 ke bawah

No comments: