Monday, October 19, 2009

KONVOKESYEN GURU BESAR SK BUKIT RIMAU



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20091019002913/Article/index_html
SHAH ALAM: Tiga beranak mencatat sejarah tersendiri apabila masing-masing menerima ijazah pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-71 di Dewan Sri Budiman, di kampus induk universiti itu di sini, semalam.

Nor Azmi Rahmat, 47 dan isteri, Abidah Yahya, 48, menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) semalam manakala puteri sulung mereka, Nurul Syazwani, 23, dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan).

Abidah ketika ditemui menyifatkan kejayaan itu hasil sokongan suami dan ibunya, Habibah Awang, 65, yang banyak menguruskan rumah dan membantu menjaga enam anaknya selama tiga tahun mengikuti pengajian di UiTM.

"Emak yang tinggal bersama saya di Taman Sri Andalas, Klang, banyak memberi sokongan sehingga saya mencapai kejayaan ini, " katanya yang juga Pegawai Teknologi Pendidikan, Jabatan Pelajaran Selangor.

Beliau yang mengumpul nilai gred purata kumulatif (CGPA) 3.68 melayakkannya mendapat ijazah kelas pertama.

Nor Azmi yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau pula berkata belajar bersama isteri menyuntik semangat untuk menamatkan pengajian tiga tahun di UiTM walaupun perlu menghadapi banyak cabaran.

Selepas terpilih mengikuti Program Intensif Sepenuh Masa melalui program Ijazah di UiTM, katanya, beliau nekad untuk berusaha mencapai kejayaan tanpa memikirkan masalah pembahagian masa.

“Saya perlu bijak membahagikan masa mengikuti kuliah, sekolah dan keluarga. Jika tidak, ia pasti menimbulkan masalah,” katanya yang memperoleh CGPA 3.43.

Nor Azmi yang berpengalaman 15 tahun sebagai guru berkata, kejayaan itu tidak dicapai dengan mudah kerana beliau biasanya bangun seawal jam 4 pagi untuk belajar sebelum ke kuliah.

"Isteri dan ibu mentua banyak membantu sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah. Saya amat berterima kasih kepada mereka," katanya sambil menasihatkan remaja atau mereka yang sudah lanjut usia supaya tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu.

Beliau berkata, pembelajaran tidak harus berhenti begitu saja sebaliknya mereka harus membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

No comments: